‘Age’ is always growing, and left behind a lot of memories. Thus here we are, am try to record every single golden moment in my short life journey with you all.

nuffnang

Rabu, 1 Julai 2015

8 Langkah Mudah AIR KELAPA PANDAN Boleh Menggantikan PETROL Ketika Kecemasan


Sebuah penemuan anak muda tempatan yang telah menaikkan nama Malaysia. Kebijaksanaan beliau dalam bidang kejuteraan mendapat pengiktarafan dunia. Malangnya nama beliau ditenggelamkan berikutan kepentingan negara, politik, dan tekanan syarikat/ahli korporat.

Hari ini ternyata air kelapa pandan boleh menjadi pengganti bahan bakar petrol RON95 yang semakin berkurangan dan mahal harganya. Air kelapa pandan boleh berfungsi seperti biodiesel berikutan komposisi air itu yang berkabonat, mengandungi kalsium dan lemak berkrim.

Cara menyediakan ramuan tersebut relatifnya adalah mudah. Semua rakyat Malaysia mampu melakukannya sendiri:-

1. Kopek kelapa dengan memangkas kepala dan bontot buah kepala pandan terlebih dahulu. Sebaiknya kelapa muda yang masih segar bersaiz sederhana.

2. Tuangkan air kelapa pandan itu ke dalam botol berkapasiti 1.5 litter, campurkan dua camca gula. Kemudian ditutup rapat. Eramkan air kelapa tadi selama dua (2) jam di tempat sejuk. Seeloknya diletakkan di dalam bekas yang mengandungi air batu untuk proses penapaian.

3. Masukan botol air kelapa itu ke dalam beg dan hindarkan terdedah kepada matahari. Hal ini ditakuti berlaku proses pengoksidaan dan pengelewapan. Pancaran matahari juga boleh merosakan molekul dan susun atur kimianya.

4. Hidupkan kenderaan anda & bergeraklah seperti biasa dengan selamat hinggalah tangki minyak anda kehabisan petrol RON95.

5. SILA PASTIKAN tangki minyak anda benar-benar kosong.

7. Jauhi daripada panik dan kaget. Perkara ini mustahak untuk proses seterusnya.

8. Setelah cukup tenang dengan menarik nafas dalam-dalam, tolaklah kenderaan ke tempat selamat. Kemudian gunakan air kelapa pandan tadi dengan menyuakan mulut botol air kelapa pandan itu ke bibir anda. Minumlah dengan tenang dan jangan gelojoh. Setelah tenaga pulih, cari jalan atau tolak kenderaan anda ke stesen minyak yang berdekatan dan isilah petrol di situ. Kesimpulannya, badan anda akan menjadi lebih sihat, minda bertambah cerdas dan..., petrol pun jimat.

Selamat mencuba!
(ahaks, idea lantun-lantun daripada maza)
Ammak satu kali!

Selasa, 12 Mei 2015

Di Bawah Jambatan Kemaman Jiwa Pemuda Bergelora

Beriadah dan bersantai di bawah Jambatan Kemaman
Ketika meningkat remaja, saya sering melakukan aktiviti santai di tebing ban (tali air). Termenung di atas titi kayu sambil menantikan masa yang sesuai untuk berenang ke dalam air sungai Temiggol yang mengalir dingin.

Adakalanya saya mengusung gitar kapok usang dan menjinjing buku log lagu. Berdendang dengan lagu anak-anak muda sezaman. Rata-ratanya bermelodikan rock kapak dan rhythm pop yeh-yeh.

Sekali sekala ditemani rakan sekampung seperti Tunak (Tommy), Pak Kulup (arwah Samad bin Abdul Rahim), Asrak bin Idik. Kami terpekik terlolong di tepian ban itu.

Pada lewat petang, saya juga mengail ikan dengan 'joran bodoh' berumpankan gentilan tepung, cacing atau hirisan biji kelapa sawit.

Indah nian panorama bila bidai petang mula melabuhkan tirai. Awan kuning di ufuk horizan barat memurnikan suasana. Air jernih yang mengalir di bawah titi mengembalikan pantulan imej kebiruan langit dihiasi awan larat komulus. Dari sayup kejauhan kelihatan burung-burung berterbangan pulang ke sarang. Burung bangau, belibis, kuang, bayan, tiak, tempua, serindit berterbangan. Barangkali sudah kekenyangan. Burung wak-wak, tukang, hantu dan riang-riang mula bersiap-siap mengambil tempat untuk bertugas malam nanti.

Di atas batas sana pak tani memikul cangkul, sabit dan alatan tani. Berbaris meniti batas sawah selebar beberapa jengkal bersama isteri atau kakak yang mencibit bakul bekalan. Riuh suara mereka. Anak-anak tani mendepangkan tangan, mengimbangi diri berlari di atas batas dengan hati girang. Petang itu sarat dengan hilai tawa dan gurau senda mereka.

Pada usia baligh dan jerawat mulai tumbuh di sana sini, sikat pula tersisip kemas di kocek belakang seluar. Objektif kami ke titi bukan lagi sekadar bersantai dan menunjukkan handalnya berkubang, bermain 'ram ram reap air' atau menyelam paling lama. Selalunya ke situ untuk meluahkan rasa; rasa bunga-bunga, fantasi si anak muda mengidamkan dara. Tidak kurang juga melaram dan menantikan gadis genit desa melintas atau bersiar-siar di halaman kampung sambil menayangkan tubuh pemuda sasa (tubuh sadolah sangat, hik hik hik).

Jika nasib kurang baik, terserempak dengan Pak Jemari, Pak Embong atau Hashyim Embong, mereka ini 'taiko' kampung. Kebidangan dada kami serta merta mengendur dengan sendirinya, berubah menjadi pepes. Hanya lambaian tangan menjadi tanda hormat sambil melontarkan senyum sumbing.

Jika yang lalu di hadapan titi itu bakal bapa mertua si pujaan hati, wajah pemuda gagah Kg. Sri Lukut, Kahang, Johor, ini akan berubah kemerah-merahan. Malu, segan, resah, takut; semuanya bergalang ganti dalam peti hati. Jiwa menjadi resah tak semena-mena. Sepontan akan berdiri menyambut beliau dengan salam takzim, tangan kanan jatuh ke tanah, tubuh dibongkokkan, manakala tangan kiri di balik pinggang. Jauh berbeza akhlaknya bila bertembung dengan bakal isteri idaman itu, terkeseng-keseng, tersengeh-sengeh, tertunduk malu sambil melontarkan ayat-ayat keramat mengurat (kih kih kih).

Nostalgia itu berputik kembali setelah semalam (11.05.2015) berkesempatan melawat anak-anak muda Kemaman bersantai di bawah jambatan. Mereka berborak sambil mata kail dilabuh hendak mencari ikan dibuat lauk untuk makan malam nanti. Sekali sekala angin bayu laut memuput, mengusap tubuh bersama kedamaiannya.

Alhamdulillah

~Ammak satu kali~
hik hik hik

Rabu, 6 Mei 2015

Misteri Sungai Madik, Kahang

1 MEI 2015 (JUMAAT) - Saya sekeluarga, Bibik Mamat Appolo, Suzienna Ana, Kamal Sauhan sekeluarga berkhemah di tebing Sungai Madik, Kahang.

Memang menurut penduduk tempatan Sungai Madik itu ada kawasan keras. Tidak boleh sebarangan mahu memacak khemah atau memancing, lebih-lebih lagi di waktu senja.

Hendak dijadikan cerita, usai memasang khemah dan menyediakan unggun api, kami pun berehat sebentar di bawah pokok kelapa sawit berhampiran tebing sungai bersempadanan pantai yang pasirnya putih. Waktu Maghrib pula semakin hampir. Awan hitam nimbrostratus berkumpul memekat di dada langit. Alamat hujan akan turun.

Sedang berehat itu dengan tidak semena-mena Aida Sarudin menjerit sekuat hati. Memekik. Bergema seluruh tebing Sungai Madik itu. Dia bergegas bangkit dan terus berlari tanpa menghiraukan sesiapa. Lagaknya seperti orang kena histeria. Kena rasuk! Menggelupur!

Kami kaget. Panik. Tak tahu hendak berbuat apa. Masing-masing menggelabah. Masing-masing termangu. Terpegun melihatkan tindakan sepontan Aida.

Dalam keadaan getir itu saya melaungkan namanya. Dua tiga kali saya menjerit bertanyakan dia hendakl ke mana.

Akhirnya Aida pun menjawab sambil tercungap-sungap kemengahan, "Stok Maggi tertinggal dalam bonet kereta. Kena cepat ambil sebelum hari gelap dan hujan! Tak ada Maggi, lambat masak, tak sedap nak makan."

Jadinya, kami pun sama-sama terkena histeria pada hari itu.

~mee Maggi cepat dimasak sedap dimakan~

Hik hik hik
Lantun-lantuk, ammak satu kali

Khamis, 2 April 2015

BELANGKAS SI HELMET JERMAN

 
Cengkerang belangkas ini lagaknya seperti helmet askar Jerman semasa Perang Dunia Kedua


Dalam perjalanan ke Johor dari Pontian, maza terpandangkan WARUNG MAMPER YATI, BT 30, PENGKALAN RAJA, PONTIAN, JOHOR.

Sambil menunggu hidangan dipesan tiba, kami duduk di atas bangku yang disediakan. Sekonyong-konyong datang dua orang adik beradik berusia dalam lingkunan 40-an. Mereka sangat ramah dan mengenalkan diri sebagai nelayan tempatan.

"Saya kalau 'hadap' belangkas tak cukup seekor. Selalunya dua atau tiga ekor sekali makan." Kata salah seorang daripada mereka.
 
"Kalau macam itu, orang kampung saya kata kena tanya, abang ada berapa orang anak?" Celah pelanggan lain.

"Taklah ramai. Baru empat orang." Jawab lelaki itu lagi. 


"Eh! Apa kaitannya?" Soalnya kembali.

"Kan ada bidalan, 'ibarat macam belangkas'. Telurnya banyak, anak pun ramai. Orang tempat saya cakap, macam resmi belangkas, nanti makan banyak belangkas akan banyak anak. Lagipun saya mahu tahu petuanya itu mujarab atau tak."

"Esok Jumaat! Kebetulan pulak. Hahaha..." sambung nelayan seorang lagi.

Gamat warung itu dengan ketawa kami berdekah-dekah.



Ammak satu kali, by:
 

Selasa, 31 Mac 2015

Belanja Makan Kurang 24 jam Sebelum GST

Mee Bandung Kota Tinggi


Pekena mee bandung Kota Tinggi di Medan Selera, Kampung Makam. Istimewanya mee bandung di Kota Tinggi ini ialah dimuatkan seekor kupang bersama cengkerangnya sekali.

Kelihatan juga air bandung cincau istimewa dan sebekas cili jeruk untuk menambah selera.

Menikmati segala perasa yang ada sebelum melangkah ke era baharu.

Esok, setelah GST, tiada jaminan.

~ala la la laa~
amak satu kali.
Hik hik hik


LinkWithin

Related Posts with Thumbnails